Titik Noktah Episod Duka Datin Mastura Dan Keluarga


SRI AMAN: Rombongan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid melawat lokasi nahas helikopter di Batang Lupar semalam, yang disifatkan sebagai titik noktah episod duka beliau dan keluarganya.

Dalam tragedi pada 5 Mei lalu, suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban bersama lima penumpang lain ketika dalam perjalanan pulang ke Kuching.

Mastura ketika ditemui berkata Lingga telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sekeluarga.

“Kunjungan hari ini (Rabu) adalah untuk menamatkan episod duka kami sekeluarga dan memulakan hidup baharu.

“Kembali ke lokasi ini juga memberi kekuatan semangat kepada kami sekeluarga untuk meneruskan hidup,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan persekutuan serta semua pihak yang terlibat sepanjang gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Rombongan Mastura bersama keluarganya ke Lingga turut diiringi Panglima 1 Divisyen Infantri Tentera Darat Malaysia (TDM) Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw.

Ketibaan beliau kira-kira jam 10 pagi di Lingga turut disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri sebelum bergerak ke Masjid Al-Hana untuk mengadakan majlis tahlil bersama penduduk setempat.

Kemudian mereka bergerak ke lokasi jenazah Wan Mohd Khair-il Anuar dijumpai kira-kira empat kilometer dari Jeti Lingga menggunakan bot polis.

Beliau terharu dengan kedatangan penduduk kampung sambil menyifatkan kunjungan itu bukan yang terakhir baginya dan keluarga.

Mastura sebelum ini turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isterinya, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu di Wisma Bapa Malaysia.

Pertemuan 30 minit bersama Ketua Menteri itu sempena lawatan pertama beliau selepas tragedi berkenaan selain kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar menggantikan arwah suaminya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA