Tinggal Bersama Mayat Anak Selama 21 Tahun


Brooklyn: Seorang wanita tua yang buta dan pengumpul barang terpakai dipercayai hidup bersama rangka anaknya selama hampir 20 tahun tanpa menyedarinya.

Sumber Jabatan Polis New York (NYPD) berkata, rangka itu ditemui 15 September lalu apabila seorang anggota keluarga Rita Wolfensohn datang ke rumah wanita berkenaan untuk mengambil barangan untuknya yang ketika itu dirawat di hospital.

Di tingkat dua rumah empat bilik itu, adik ipar Rita, Josette Buchman menemui rangka manusia yang lengkap sepenuhnya.

Bagaimanapun, penyiasat berkata, mereka percaya Rita tidak menyedari dia tinggal dengan mayat anaknya.

Sarang labah-labah dan sampah sarap memenuhi bilik tempat mayat itu ditemui - seperti sebuah trak sampah membuang muatannya di dalam, kata sumber polis.

Walaupun bau dalam bilik itu sungguh busuk tetapi ia tidak berbau mayat reput.

Ketika disoal siasat, wanita itu hanya berkata, anak lelakinya sudah lama berpindah.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti mayat itu secara rasmi tetapi mereka percaya ia anak Rita yang diyakini mati akibat sakit biasa.

Polis juga enggan memberikan nama lelaki itu.

Menurut rekod, Rita mempunyai dua anak lelaki, Michael dan Louis. Anggota keluarganya berkata, mereka tidak melihat Louis sejak 20 tahun lalu dan dia berusia 49 tahun jika masih hidup.

Michael mati pada 2003 ketika berusia 38 tahun. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA