Tiga Penipu Licik Perdaya Warga Emas Khidmat Bantuan Kewangan


MIRI: Seorang wanita warga emas ditinggalkan di tepi Jalan By Pass-Miri setelah dipukul dan dirompak akibat terperdaya tawaran bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 oleh tiga perompak termasuk seorang wanita di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, warga emas berkenaan dipercayai sedang membeli keperluan rumah pada cuti umum Hari Raya Aidiladha.

Mangsa dikatakan tiba-tiba didatangi seorang wanita muda yang kononnya menawar perkhidmatan bantuan kewangan untuk warga emas.

Pada mulanya, mangsa enggan peduli kehadiran dan tawaran wanita berkenaan tetapi akhirnya terperdaya sebelum mengikut ke kereta untuk dibawa ke tempat permohonan dilakukan.

Mangsa dipelawa menaiki sebuah kereta yang turut disertai dua lelaki lain dan diarah membuka barang kemas kononnya untuk memudahkan kelulusan permohonan itu.

Warga emas itu kemudian menyimpan barang kemas berkenaan di dalam beg tangannya namun dirampas sebelum dipukul oleh kumpulan perompak berkenaan.

Antara sedar dengan tidak, warga emas itu sebenarnya dibawa ke Jalan Bypass-Miri lalu ditinggalkan begitu sahaja oleh ketiga-tiga suspek.

Begitupun, beliau bernasib baik kerana tidak sampai beberapa minit ditinggalkan muncul seorang wanita prihatin membantu dan membawa mangsa membuat laporan polis.

Warga emas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA