Tiga Orang Kuat FAS Undur Diri


KUCHING: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman mengumumkan tidak bertanding mempertahankan jawatan tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2016 Sabtu ini.

Sudarsono berkata, punca beliau tidak bertanding jawatan tersebut bukan disebabkan masalah dalam FAS tetapi disebabkan kekangan masa.

Malah menurutnya, adalah tidak adil untuk bola sepak Sarawak sekiranya komitmen yang diberikan tidak menyeluruh.

"Saya dan timbalan presiden (Datu Abu Bakar Merzuki) tidak akan bertanding jawatan masing-masing pada AGM akan datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain Sudarsono dan Abu Bakar, Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi turut tidak bertanding mana-mana jawatan.

Beliau menjelaskan, sesiapa sahaja boleh bertanding namun calon yang tidak dapat hadir harus, calon perlu menghantar persetujuan bertullis kepada pencadang.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman mentadbir FAS sejak 2010, Sudarsono berkata, enam tahun bersama persatuan penuh dengan emosi.

"Sedih dan gembira saya bersama persatuan kerana sukan ini (bola sepak) boleh mencetus pelbagai emosi.

"Mentadbir persatuan bola sepak adalah sepenuh masa dan tidak dapat dijalankan tanpa komitmen penuh,"ujarnya.

Menurut Sudarsono lagi, tahun 2013 adalah saat gemilang buat FAS, apabika Sarawak muncul juara Liga Premier dengan rekod tanpa kalah selain layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Abu Bakar menjelaskan, paling membanggakan adalah kejayaan menukar FAS daripada persatuan berhutang kepada bebas hutang.

"Ini adalah pencapaian di bawah presiden dan kita berjaya menyelesaikan masalah hutang persatuan," jelasnya.

Menurutnya lagi, bola sepak sekarang bukan lagi hanya permainan tetapi sudah menjadi industri. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA