Tidak Perlu Pilihan Raya Awal - Azmin


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada keperluan untuk pilihan raya awal diadakan di negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata kerajaan negeri pimpinannya akan terus bekerja hingga tamat tempoh lima tahun penggal pentadbiran.

"Tidak perlu (Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan). Saya tidak boleh khianat mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor pada pilihan raya umum lalu. Kami (pentadbiran negeri) akan bekerja keras dalam tempoh lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya negeri," katanya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang disiarkan portal berita Malaysiakini, bahawa Pakatan Harapan patut mempertimbangkan pilihan raya awal di Selangor.

Kit Siang dilaporkan berkata, ia berikutan Kajian Semula Persempadanan kawasan pilihan raya di seluruh negara yang didakwanya bertujuan mengembalikan kuasa UMNO, khususnya di Selangor.

Mohamed Azmin berkata, beliau dan pimpinan PKR sedang meneliti cadangan SPR itu selain akan mengadakan pertemuan dengan peguam untuk melihat jika ada ruang mengambil tindakan undang-undang terhadap usul persempadanan semula itu.

"Sebagai kerajaan negeri, kami mempunyai hak untuk membantah. Bukan sekadar kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga pengundi juga ada hak di sisi undang-undang untuk membantah," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA