Tiada Kes Baharu Zika Di Malaysia


KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kes baharu membabitkan virus zika di negara ini, sekali gus hanya enam kes dilaporkan sehingga kini.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kementeriannya akan terus memantau serta mengambil langkah perlu bagi memastikan tidak penularan virus berkenaan di negara ini.

Beliau turut mengesahkan pesakit zika dari Sabah awal bulan ini pernah berkunjung ke Skudai, Johor untuk melawat anaknya namun tidak pasti sama ada mangsa mendapat jangkitan virus berkenaan di Johor atau sebaliknya.

"Kita tidak pasti sama ada ia menjadi punca (pesakit mendapat virus zika di Johor) atau telah mendapat jangkitan itu di Sabah sendiri.

"Berdasarkan kajian, ada dua jenis virus zika iaitu sama ada jangkitan dari Singapura atau dari dalam negara kerana virus ini sudah ada sejak 1953 dan di Sabah pada 1976," katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Badan Perhubungan MIC Sabah Ke-18, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan MIC Sabah, Datuk V Jothi. Dalam perkembangan lain, Subramaniam yang juga Presiden MIC berharap BN Sabah dapat memberi pertimbangan supaya satu kerusi diperuntukkan kepada MIC di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita berharap Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) boleh memberi perhatian sewajarnya kepada permintaan masyarakat India di Sabah yang terus setia menyokong kepemimpinan BN.

"Sebagai permulaan, sekurang-kurangnya hanya satu kerusi saja, terpulang sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen," katanya.

Sabah dianggarkan mempunyai 12,000 masyarakat berketurunan India di seluruh negeri. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA