Tiada Bukti Serpihan Berkemungkinan Milik MH370 Terdedah Kepada Api - ATSB



SYDNEY: Serpihan berkemungkinan milik pesawat penumpang MH370 yang diberikan oleh seorang penyiasat amatur Amerika Syarikat tidak mungkin “terdedah kepada haba atau api", kata pihak berkuasa Australia pada Khamis, susulan tersebar spekulasi serpihan tersebut telah terdedah kepada api.

Dua serpihan terbabit dibawa oleh Blaine Gibson yang dikatakan ditemui di Madagascar ke Australia untuk disiasat secara forensik oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada 12 September lalu.

Dia memaklumkan media tempatan bahawa satu daripada serpihan terbabit “menunjukkan tanda-tanda lebur .. seperti ia telah terdedah kepada api.”

Menteri Pengangkutan Australia Darren Chester berkata, selepas pemeriksaan awal terhadap serpihan komposit jenis fibreglass-honeycomb didapati “apa yang dapat kita tahu adalah ianya bertentangan dengan spekulasi tersebut dan tiada bukti bahawa serpihan ini telah terdedah kepada api atau haba.

“Dengan persetujuan daripada kerajaan Malaysia, ATSB telah memeriksa serpihan tersebut namun tidak menemui apa apa pengenalan pembuatan seperti nombor bahagian atau nombor siri yang dapat memberi petunjuk kepada asal serpihan itu,” tambah Chester dalam kenyataan beliau.

“Pada peringkat ini, ianya mustahil untuk menentukan sama ada serpihan adalah daripada MH370 ataupun dari sebuah pesawat Boeing 777.

“Siasatan lanjutan akan dijalankan dalam usaha menentukan asal serpihan tersebut, secara khususnya untuk mengetahui sama ada ianya daripada pesawat Boeing 777.

"Kepingan yang lebih besar mempunyai tiga tanda “hasil dari pemanasan setempat”, namun tiada bukti bahawa ianya kerosakan hasil daripada pemanasan. Asal dan usia tanda-tanda ini juga tidak dapat ditentukan,” jelas ATSB lagi.

Pencarian MH370 dalam baki kawasan pencarian seluas 10,000 km persegi dijangka selesai pada penghujung tahun ini.

Setakat ini, pencarian pesawat itu telah meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu masih lagi belum ditemukan walaupun pencarian secara besar-besaran di selatan Lautan Hindi dilaksanakan di tempat dipercayai penerbangannya berakhir.-Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA