'Terima Kasih Najib Beri Saya Peluang Berucap Di PBB’


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan untuk beliau mewakili negara pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Mengambil perkara itu sebagai satu pengiktirafan dan tanggungjawab buat dirinya, timbalan perdana menteri itu berkata mewakilikan Najib dalam persidangan itu memberi pendedahan kepadanya untuk berada di pentas antarabangsa.

“Pada hemat dan bacaan saya, beliau (Najib) mahu memberi pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa kerana ada yang mempertikaikan saya masih belum layak untuk mejadi pembantu beliau kerana saya tidak mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Padahal sewaktu saya jadi Menteri Pertahanan saya mempengerusikan banyak majlis yang dihadiri menteri-menteri pertahanan antarabangsa dan juga di beberapa persidangan antarabangsa lain.
“Tetapi Alhamdulillah dengan pendedahan yang diberikan PM, saya tidak perlu riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sesetengah pihak yang mempersoalkan perwakilan beliau pada persidangan tersebut dalam program Bicara Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di RTM malam tadi.

Beliau turut menjelaskan bukan sesuatu perkara luar biasa apabila beliau selaku timbalan perdana menteri ditugaskan mengetuai delegasi negara kerana banyak negara lain yang menghantar wakil bagi mewakili ketua negara dan kerajaan masing-masing.

Zahid tiba di New York pada Sabtu untuk mengetuai perwakilan Malaysia ke sesi ke-71 sidang PBB itu. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA