Terdesak Sangatkah Hingga Guna Cara Begini?

Seringkali kita mendengar laporan dan penjelasan rasmi dari pihak berkuasa mahupun kerajaan tentang sesuatu perkara atau isu, maka setiap kali itulah segala apa yang sah dan benar itu enggan diterima oleh mereka-mereka yang enggan lagi percaya pada kebenaran.

Hatta jika dikatakan bahawa negara ini bernama Malaysia sekalipun, maka kenyataan itu akan diputar belit dari pelbagai sudut termasuk dengan memberikan nama-nama baru, bendera yang tidak relevan dan ‘sejarah’ yang kononnya benar.

Malah jika pihak-pihak tertentu itu tidak punya idea untuk menyanggah fakta benar yang dikemukakan, maka mereka akan sengaja mereka-reka cerita dan ia akan diputar-putar hingga dapat mempengaruhi segelintir rakyat yang lemah mindanya.

Bila institusi kewangan menjelaskan justifikasi menutup cawangan-cawangan bank ekoran peralihan operasi dan teknologi kepada perbankan elektronik atas talian, mereka pusing cerita kononnya kedudukan kewangan negara kritikal.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) misalnya turut menjadi mangsa permainan propaganda pihak-pihak berkenaan kononnya BR1M akan diagihkan lebih awal sempena Aidiladha. Padahal, apa kena mengena LHDN dalam proses agihan BR1M. Nama LHDN pun ditukar jadi ‘Jabatan Hasil Negara’?

Dalam laporan berita perdana semalam pun pihak TESCO terpaksa pula buang masa mereka untuk menjelaskan fitnah yang kononnya mereka akan menutup operasi di negara ini. Alasan yang sama, kononnya ‘masalah ekonomi negara yang tidak bagus’. TESCO nafi keras dakwaan itu.

Peliknya, bila kita beritahu mereka tentang propaganda, strategi jijik dan memalukan puak-puak berkenaan, mereka enggan pula sedar diri dari terus tertipu. Malah diherdiknya kita kononnya kita ‘makan dedak’ dan sebagainya.

Kadang kala, penulis terbayangkan firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran, ayat 179, yang diturunkan tentang mereka-mereka yang mempunyai hati tapi tidak faqih, diberikan mereka mata namun mereka tidak dapat ‘melihat, diberi telinga namun mereka tidak mendengar.

Malah mereka-mereka itu Allah SWT menyamakan sifat mereka seperti haiwan-haiwan ternakan, bahkan mereka lebih sesat dari haiwan-haiwan berkenaan! Apakah mereka sedar tentang asbabun nuzul dan hikmah di sebalik firman Allah tersebut?


Mereka juga mengaku tentang amaran yang pernah disabdakan Rasulullah SAW tentang suasana akhir zaman di mana fitnah begitu berleluasa. Namun mereka pula mengambil bahagian mencipta fitnah, menyebarkan fitnah dan berkongsi-kongsi fitnah itu?

Bila para ulama menyampaikan cara untuk mengelak diri dari terpengaruh dengan fitnah-fitnah akhir zaman dengan mengamalkan 10 ayat dari surah Al-Kahfi, mereka hanya sekadar tahu namun tidak pula cuba mencari ayat itu. Jika ayat itupun mereka tidak tahu, bagaimana untuk mereka hafal dan hindarkan diri dari fitnah ‘dajjal-dajjal’ di akhir zaman ini?

Lebih memelikkan penulis, jika berbicara soal agama, merekalah ‘champion’. Padahal, satu kitab pun belum tentu khatam dan faham. Baru saja hafal beberapa potong firman Allah SWT, lalu diputar belit menjadi ayat ‘politik’. Itu pun ada yang panggil mereka ‘ustaz’?

Penulis kasihan. Penulis kesal dengan segelintir puak-puak itu. Penulis akui tidaklah tinggi ilmu dan fahaman agama. Namun inshaAllah, Islam itu tetap menjadi rujukan paling utama dan hal duniawi penulis tetapkan ditangga kedua dan seterusnya.

Justeru itu penulis mencadangkan kepada pihak-pihak berkenaan, jika terdesak sangat pun mahu meraih sokongan politik dari rakyat, jangan sesekali buang agama ke tepi kerana tindakan itulah yang menjadi punca utama pihak itu gagal memenuhi matlamat mereka berkuasa.

Tepuk dada, tanyalah diri sendiri kerana kita tidak hidup selamanya dan kepada Dialah nanti kita akan kembali akhirnya. Itu pasti… - MYKMU

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA