Temasek Rugi RM73b Atasi 1MDB, Mana WSJ?


SINGAPURA – Masyarakat antarabangsa gempar apabila syarikat pelaburan milik pemerintah Singapura, Temasek Holdings dilaporkan rugi sebanyak S$24 bilion (kira-kira RM72.9 bilion).

Kerugian memalukan itu dilaporkan akhbar tempatan, Straits Times (ST) pada Isnin sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kelemahan urus tadbir selain campur tangan politik berlebihan terhadap Temasek selama ini.

Ironi, akhbar berpengaruh Amerika Syarikat (AS), Wall Street Journal (WSJ) yang ‘kecoh’ hentam sayap pelaburan strategik kerajaan Malaysia, 1MDB sepanjang tahun lalu, sebaliknya ‘senyap’ macam tiada apa-apa berlaku pula!

Walhal jumlah kerugian dicatatkan Temasek itu jauh lebih teruk daripada 1MDB; yang kini mula menunjukkan pemulihan – sejak ia ditubuhkan pada 1974 dan mengawal 10 buah syarikat milik kerajaan (GLC) republik tersebut.

ST dalam laporannya itu mendedahkan kerugian dicatatkan menerusi laporan tahun kewangan berakhir atau FY2016 bertarikh 31 Mac lalu daripada S$242 bilion (RM735 bilion) kepada hanya S$266 bilion (RM808 bilion).

Ia turut menyebabkan sayap pelaburan negara, Dana Caruman Berpusat (CPF); seumpama KWSP di Malaysia – melaporkan kerugian 9.02 peratus yang hanya diumumkan lewat tiga bulan kemudian iaitu pada 7 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Temasek, Ho Ching, yang juga isteri Perdana Menteri, Lee Hsien Loong enggan memberi komen susulan prestasi terburuk di sebalik laporan tahunan Temasek pula ‘menyalahkan’ pasaran tidak menentu!

Meskipun beliau cuba mengelak bertanggungjawab atas kerugian itu, pengarah urusan kanan Temasek, Michael Buchaman memikul tanggungjawab itu dan meminta rakyat Singapura bersedia dengan nilai perolehan rendah.

“Pasaran ekuiti di seluruh dunia masih lagi goyah dalam jangka waktu pendek dan sederhana. Banyak berlaku ketidaktentuan akibat kesan krisis kewangan global sekali gus mengurangkan pulangan pelaburan,” dalihnya.

Ramai warga Singapura sudah menjangka ada sesuatu tidak kena dengan Temasek apabila CPF buat julung kali dalam sejarah menunda pengumuman rasmi laporan tahunan yang lazimnya dilakukan tepat 1 Julai setiap tahun.

Rakyat republik pulau kecil itu dilarang keras mengeluarkan caruman dalam CPF sehingga tabungan persaraan mereka mencapai kadar minimum atau jika meninggal dunia lebih awal daripada usia persaraan wajib.

Ia menyebabkan majoriti penduduk Singapura terpaksa bekerja selepas bersara waima berusia lanjut akibat gagal mengeluarkan caruman CPF kerana simpanan kurang cukup disebabkan kadar faedah rendah dijana agensi itu.

Kadar rendah CPF sebanyak 2.5 peratus kepada pemegang akaun mereka berpunca daripada tindakan Temasek meminjamkan dana agensi itu pada kadar faedah sama rendah konon untuk melabur dalam sektor mewah.

Lebih teruk lagi, Temasek terpaksa menampung jurang perolehan untuk menunjukkan ada keuntungan kepada rizab negara. Lucunya, tiada sesiapa tahu berapakah jumlah rizab Singapura selama ini waima presidennya sendiri!

Ini berbeza jirannya, Malaysia yang begitu telus apabila Bank Negara Malaysia setiap suku tahun mengumumkan rizab negara yang kini mencatatkan angka RM400 bilion setakat 1 Julai lalu, antara kadar paling tinggi di dunia.

Untuk rekod, hutang Malaysia pada tarikh berkenaan masih 54 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu lebih baik berbanding Singapura sendiri yang mencecah 90 peratus daripada KDNK republik tersebut.

Ramai mengkritik Ho Ching dan suaminya kerana mengamalkan nepotisme dalam urus tadbir, namun lazimnya sesiapa berbuat demikian secara terbuka boleh disaman konon cuba membuat fitnah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA