Tabung Haji Kekal Cemerlang


Makkah: Ibadat haji bagi musim 1437 Hijrah secara rasmi berakhir semalam selepas semua jemaah selesai melontar untuk Hari Tashriq, seterusnya melakukan tawaf dan saie haji.

Sejak kelmarin dataran perkhemahan Mina dan laluan menuju ke Kompleks Jamrat lengang berbanding sehari sebelum itu berikutan sebahagian jemaah melaksanakan Nafar Awal.

Tiada lagi kedengaran bunyi siren kereta peronda dan pembesar suara pasukan keselamatan mengarahkan jemaah mengikut arahan pergerakan yang ditetapkan.

Bagi penulis, secara peribadi pengalaman 53 hari berada di dua kota suci ini tidak mungkin dapat dilupakan untuk seumur hidup.

Angka sebenar jemaah Malaysia yang dapat menyempurnakan wukuf adalah 22,307 selepas ditolak jemaah yang meninggal dunia dan mereka yang sakit tenat.

Alhamdulillah, ibadat haji tahun ini dapat disempurnakan tanpa sebarang kejadian tidak diingini seperti tahun lalu.

Benar seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan Arab Saudi pada tahun ini mengambil langkah sangat ketat dan tegas berhubung aspek keselamatan.

Ini termasuk pelaksanaan sistem rekod biodata jemaah yang lebih kemas seperti pengambilan maklumat biometrik semua 10 cap jari dan pemakaian gelang tangan e-Hajj.

Pastinya bukan tugas mudah menguruskan hampir dua juta manusia yang datang daripada pelbagai latar budaya di kawasan yang terbatas.

Arab Saudi juga menugaskan kira-kira 100,000 anggota keselamatan untuk mengawal di kawasan strategik.

Pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi turut mengesahkan setakat ini belum ada laporan berkaitan sebarang wabak penyakit diterima.

Seperti biasa jemaah Malaysia sekali lagi menjadi sebutan berikutan disiplin yang tinggi dan tidak menimbulkan masalah ketika berada di Tanah Suci.

Dalam usia 53 tahun sebagai sebuah badan korporat yang menguruskan jemaah haji, Lembaga Tabung Haji (TH) mempamerkan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang sehingga namanya harum di persada antarabangsa.

Jemaah haji Malaysia antara yang sangat bertuah kerana semua urusan menunaikan haji diuruskan TH dari 'A sampai Z'.

Seperti kata seorang jemaah, Zabidi Ishar, kita seperti 'membawa' Malaysia ke Tanah Suci.

Mana tidaknya, daripada makanan, perkhidmatan perubatan dan sistem perbankan, semuanya didatangkan dari Malaysia bagi kemudahan jemaah berurusan.

Sejak hari pertama tiba di Madinah, waktu terluang jemaah dimanfaatkan dengan pelbagai program termasuk ziarah luar dan dalam serta pelbagai siri ceramah yang diberikan pembimbing ibadat berpengalaman.

Paling penting kedudukan hotel yang kurang 100 meter dari Masjid Nabawi membolehkan jemaah menunaikan solat berjemaah dan beriktikaf. Menunaikan solat di masjid yang turut menempatkan makam Rasulullah ini memperoleh 1,000 kali ganjaran pahala.

Program ziarah luar di tapak bersejarah dalam perkembangan syiar Islam seperti Masjid Qubaa', Masjid Tujuh dan Dataran Bukit Uhud memberi pengalaman baru kepada jemaah.

Di Makkah pula jemaah Malaysia juga beruntung kerana semua hotel penginapan terletak kurang satu kilometer dari Masjidilharam.

Jemaah juga tidak perlu membawa wang yang banyak ke Tanah Suci kerana mereka boleh mengeluarkan wang di kaunter kewangan yang dibuka di maktab penginapan.

Malah, jemaah Malaysia juga tidak perlu bersesak untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital Arab Saudi kerana Kementerian Kesihatan Malaysia menghantar 251 anggota perubatan termasuk doktor pakar dari Malaysia.

Jemaah juga tidak perlu risau jika tekak mereka tidak dapat menelan makanan Timur Tengah kerana TH turut menerbangkan chef berpengalaman dari Malaysia khusus untuk jemaah kita.

Pusat perkhidmatan untuk semua urusan turut dibuka di maktab penginapan.

Perkhidmatan kaunseling, talian untuk pertanyaan sebarang kemusykilan ibadat, pasukan peronda yang membantu menunjukkan jalan, pembimbing ibadat, pakar rujuk dan pusat khidmat pelanggan semuanya tersedia untuk jemaah. - hmetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA