Suspek serang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka direman tiga hari


PETALING JAYA: Lima suspek yang menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Saib Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang kelmarin, direman tiga hari sehingga esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata kelima-lima suspek ditahan oleh pasukan khas yang ditubuhkan polis Selangor dalam serbuan berasingan di Perak dan Selangor bermula kelmarin sehingga semalam.

"Semua mereka yang berusia antara 25 hingga 56 tahun ditahan di rumah masing-masing dengan tiga daripadanya ditahan di Sungai Siput, Perak manakala dua lagi masing-masing di Rawang dan Dengkil, Selangor.

"Kita juga sudah mengenal pasti empat lagi rakan suspek dan gerakan memburu mereka sedang dijalankan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu dikatakan berlaku selepas Ibrahim Saib Ansar menghantar Menteri Industri Utama Sri Lanka, Daya Gamage di KLIA.

Berikutan kejadian, mangsa lebam di muka dan badan dan dihantar ke Hospital Gleneagles untuk menerima rawatan.

Difahamkan, kumpulan yang menyerang mangsa adalah rakyat tempatan yang marah dengan kehadiran bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa ke negara ini yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), Sabtu lalu.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA