Suspek Kes Bunuh Dua Beranak Ditahan


JOHOR BAHRU: Dua suspek utama kejadian bunuh dua beranak di Taman Puteri Wangsa, Pelangi Indah semalam, dicekup di Kilometer 142.4 Lebuhraya Utara Selatan susur ke Pagoh, Muar petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmudddin Mohd berkata, kedua suspek lelaki yang berusia 20-an itu ditahan dalam cubaan melarikan diri ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres.

"Disahkan satu kejadian pembunuhan telah berlaku semalam kira-kira 10.30 pagi di rumah di Taman Puteri Wangsa, Pelangi Indah.

"Dalam kejadian ini ibu berusia 56 tahun dan anak perempuannya berumur 16 tahun dijumpai mati akibat tikaman dan tetakan berganda menggunakan senjata tajam yang dijumpai di dalam bilik rumah terbabit.

"Seorang cucu perempuannya berusia tiga tahun tidak dicederakan. Bertindak atas maklumat orang ramai dan risikan, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan melakukan tangkapan lima lelaki untuk membantu siasatan yang berusia di antara 18 hingga 20 tahun di sekitar Pelangi Indah.

"Hasil daripada tangkapan tersebut telah membawa kepada dua tangkapan suspek utama. Turut dirampas beberapa barangan dipercayai milik si mati," katanya ketika dihubungi hari ini.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA