Sukan Paralimpik Rio : Emas Ketiga Buat Malaysia



KUALA LUMPUR : Atlet paralimpik Malaysia terus cemerlang di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro selepas Abdul Latif Romly meraih pingat emas ketiga negara serta mencipta rekod dunia dan kejohanan.

Atlet berusia 19 tahun dari Kangar, Perlis itu yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) mencatat jarak 7.60 meter pada lompatan kelima beliau di Stadium Olimpik, Rio de Janeiro, pada Ahad.

Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lepas manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London.

Abdul Latif mula membuat lompatan terbaik pada percubaan kedua dengan 7.47m selepas percubaan pertama dibatalkan atas kesilapan teknikal.

Beliau terus memperbaiki jarak pada lompatan seterusnya dengan 7.54m, tetapi percubaan keempat hanya setakat 6.79m sebelum menamatkan saingan dengan lompatan kelima pada 7.60m yang tidak mampu lagi dicabar peserta lain.

Pingat perak acara itu diraih Zoran Talic dari Croatia dengan 7.12m dan gangsa menjadi milik Dmytro Prudnikov dari Ukraine dengan 6.99m.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA