Suami Isteri Tinggal Dalam Gua 54 Tahun


PASANGAN suami isteri ini sudah 54 tahun hidup di dalam gua, namun mereka gembira dengan keadaan berkenaan dan tidak bercadang untuk berpindah meskipun ditawarkan tempat penginapan lain yang lebih selesa.

Liang Zifu, 81 dan isterinya, Li Suying, 77, mula menetap di dalam gua berhampiran Nanchong di China selepas tiga tahun berkahwin disebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

Pasangan itu membina tiga bilik tidur , dapur dan ruang tamu di dalam gua berkenaan.

Mereka sebelum ini menetap di situ bersama tiga keluarga yang lain namun semuanya sudah berpindah, hanya tinggal Liang dan isterinya sahaja yang masih setia di dalam gua terbabit.

Untuk memudahkan kehidupan mereka, Liang memelihara babi dan turut menanam sayur-sayuran.

Dia juga membina sendiri bekalan elektrik.

Anak-anak mereka juga sudah dewasa dan telah keluar dari gua itu serta menetap di tempat lain bersama keluarga masing-masing.

Kerajaan tempatan cuba memujuk pasangan itu berpindah namun mereka enggan dan menyifatkan gua itu sebagai rumah yang selesa.

Keadaan ini menjadikan mereka terkenal di media sosial dan diperkatakan ramai.

Ada yang memuji pasangan tua ini tidak kurang pula yang bimbang apa akan berlaku jika kedua-dua pasangan suami isteri itu jatuh sakit. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA