Suami Isteri Ditahan Proses, Jual Ketum


SIK: Sepasang suami isteri disyaki terbabit dalam aktiviti memproses dan penjualan air ketum, ditahan dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Begia, di sini, lewat petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sik, Asisten Superintendan Zulkefli Musa, berkata suami isteri berusia 38 tahun dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika berehat di rumah mereka.

Hasil serbuan, katanya, pihaknya merampas 27 botol berisi air ketum dengan isi padu keseluruhan 40 liter, selain 11 bungkus berisi bahan sama dengan isi padu 16 liter.

Katanya, turut ditemui 16 kilogram (kg) daun ketum belum diproses serta kira-kira 30 botol ubat batuk dengan jumlah keseluruhan 4.7 liter. "Air ketum yang dibungkus, dipercayai dijual pada harga RM10, manakala dalam botol dijual RM15.

"Selain ketum dan ubat batuk, polis turut merampas sejumlah wang tunai yang disimpan dalam rumah mereka, dipercayai hasil jualan air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM718," katanya.

Zulkefli berkata, suspek mendapat bekalan daun ketum daripada pokok ditanam sendiri dan hasil carian di kawasan sekitar.

"Mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan ini sejak enam bulan lalu dan kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA