SPRM Sahkan Pendrive ‘Panas’ TMJ Tiada Unsur Rasuah


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan pemacu pena atau ‘pendrive’ yang didakwa mempunyai maklumat salah laku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tiada sebarang unsur rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, hasil penelitian terhadap isi kandungan itu mendapati tiada sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

“Susulan itu, SPRM akan menghantar satu laporan mengenai siasatan tersebut kepada FAM dalam tempoh terdekat ini bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, SPRM bersedia memberikan kerjasama dengan FAM atau pihak berkaitan bagi membincangkan isu yang timbul sekiranya melibatkan unsur rasuah.

Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyerahkan pendrive yang diterimanya daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa mempunyai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku dalam FAM.

Pemacu pena ‘panas’ itu dikatakan diperolehi TMJ daripada seseorang yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.

Antara data yang dikatakan ada dalam pemacu pena itu ialah ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang berlaku seawal 30 tahun lalu dalam FAM.- MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA