Spekulasi Pertukaran MB Terengganu Tidak Berasas


KUALA TERENGGANU: Spekulasi jawatan Menteri Besar Terengganu akan bertukar tangan seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini, dinafikan Pejabat Menteri Besar, hari ini.

Pegawai Khas Menteri Besar, Ahmad Fauzan Abdul Kadir, berkata dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bertemu Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman hari ini juga sama sekali tidak benar.

"Berhubung isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang kini rancak disebarkan melalui media sosial, saya ingin menegaskan bahawa tiada pertukaran menteri besar.

"Malah, khabar angin mengenai pertemuan antara Menteri Besar dengan Perdana Menteri yang didakwa dijadualkan pada hari ini adalah tidak benar sama sekali.

"Sebelum ini, Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata Ahmad Razif kekal menjadi Menteri Besar Terengganu hingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan sebarang khabar angin mengenai pertukaran adalah tidak benar dan hanya dicipta oleh musuh dalaman politik untuk menghuru-harakan kestabilan politik di Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fauzan berkata, mana-mana pihak tidak perlu mewujudkan sesuatu isu yang sudah dianggap selesai.

"Berhubung analisis politik yang dibuat dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini, ia dibuat berdasarkan pandangan penulis dan ahli politik yang tidak mahu melihat Ahmad Razif mengetuai negeri dalam menghadapi PRU-14.

"Kenyataan dan analisis yang dibuat tidak mencerminkan hasrat dan niat Perdana Menteri terhadap Menteri Besar Terengganu dan tiga lagi menteri besar yang lain. Ahmad Razif juga sudah berjanji akan mentadbir negeri sehingga habis penggal," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA