SPDP Sedia Terima Mawan Dan Penyokong


KUCHING: Pintu masih terbuka buat Tan Sri William Mawan Ikom untuk menyertai Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP)selepas presiden parti tersebut Datuk Seri Tiong King Sing bersedia menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu.

Memetik laporan The Borneo Post, Tiong menjelaskan, Mawan dan penyokongnya dipelawa untuk menyertai balik parti kerana mereka bukan bermusuh.

"Tan Sri William Mawan dan penyokongnya dipelawa untuk menyertai balik parti tanpa sebarang syarat kerana SPDP bukan milik saya. Tetapi ahli majlis tertinggi akan mengadakan mesyuarat sekiranya mereka serius untuk menyertai kami," katanya.

Tiong menegaskan, beliau akan menyerahkan kepada ahli majlis tertinggi untuk menentukan jawatan bersesuaian dengan Mawan yang sebelum ini merupakan presiden SPDP.

"Kita juga mempelawa penyokongnya (Mawan), tetapi kita perlu membuat saringan dahulu sebelum menerima mereka agar mematuhi prinsip Barisan Nasional (BN)," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.

Perkembangan terbaru itu membuka peluang kepada ahli Teras menjadi ahli BN kerana parti tersebut masih kekal mesra BN.

Mawan dan penyokongnya juga cuba menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) namun ditolak

Difahamkan Teras mempunyai 30,000 ahli setakat ini. -Sarawakiana.


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA