Snowdan Ketua Pemuda PRS, Menang Tanpa Bertanding



KUCHING : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan menang tanpa bertanding jawatan ketua pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas tarikh akhir menghantar borang pencalonan pada 30 Ogos lepas.

Kemenangan itu diraih selepas tiada calon lain ditampilkan untuk merebut jawatan tersebut yang sebelum ini disandang Liwan Lagang.

Keputusan disahkan dan diumumkan Setiausaha Agung PRS Datuk Wilfred Nissom semalam.

Snowdan yang dihubungi hari ini melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi parti yang memberi kepercayaan kepada beliau.

"Tidak lupa kepada semua bahagian PRS yang turut menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya menjawat jawatan ini (ketua pemuda).

"Di atas kepercayaan yang diberikan ini, saya akan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi memartabatkan pemuda.

"Saya juga akan merangka hala tuju pemuda PRS selepas ini," katanya,

Snowdan turut berharap semua ahli pemuda dapat memberi kerjasama sekaligus dapat bersama-sama memperkasa parti. -Sarawakiana.




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA