Sepatutnya Bantu Stabilkan Negara, Bukan Berdiri Bersama Pembangkang


KUALA LUMPUR - Penganjuran sekali lagi perhimpunan Bersih pada November ini tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat walaupun kini mendapat ‘restu’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat boleh menilai sendiri agenda Dr. Mahathir apabila prinsipnya telah berubah secara total walaupun sebelum ini beliau lantang menentang sebarang perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai bekas pemimpin negara, Dr. Mahathir sepatutnya bersama-sama kerajaan membantu menstabilkan negara ketika berdepan dalam ketidaktentuan ekonomi global biarpun kini berada di gelanggang yang sama dengan pembangkang.

“Penganjuran Bersih jelas sekali merupakan alat pembangkang. Mereka sudah tentu tiada isu baharu yang dibangkitkan hanyalah skrip lama yang diulang-ulang. Dr. Mahathir ini macam mana kita nak hormat keputusannya kalau semua yang dibuat sekarang ini bercanggah dengan pendirian beliau sebelum ini.

“Kita sedih melihat perhimpunan Bersih ini kerana ia memberi implikasi kepada ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam kea­daan ekonomi global yang tidak menentu. Tindakan ini hanya akan meresahkan pelabur asing, namun sebagai kerajaan kita akan berdepan dan menanganinya dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini tersebar seke­ping gambar pertemuan penganjur perhimpunan Bersih bersama para pemimpin pembangkang termasuk Dr. Mahathir sekali gus membuktikan perhimpunan haram itu sememangnya menjadi alat pembangkang.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA