Sepang Sedia Paddock Baru


Sepang: Sepang International Circuit Sdn Bhd (SICSB), pengendali Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjangkakan perolehan yang disumbangkan daripada acara utamanya, Formula 1 PETRONAS Malaysia Grand Prix meningkat secara signifikan pada tahun ini sekali gus menyokong lima peratus pertumbuhan dalam perolehan keseluruhannya tahun ini.

Secara purata dari tahun ke tahun, SIC mencatatkan perolehan RM100 juta dan acara itu menyumbang sekitar 56 peratus setahun berbanding acara lain yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali berkata, bagi persiapan lokasi kejohanan perlumbaan Formula 1 pada 30 September ini, pihaknya telah melaksanakan beberapa aktiviti menaik taraf kemudahan, antaranya menyediakan kemudahan paddock kekal dan paddock kedua yang disediakan untuk pelumba simpanan di bahagian selatan litar utama.

Beliau berkata, kedua-dua kemudahan itu yang disiapkan dalam tempoh 16 minggu lalu menelan belanja sekitar RM19 juta dan ia penting bagi meningkatkan lagi keupayaan litar perlumbaan negara sebagai lokasi perlumbaan dunia.

“Secara keseluruhan, pelaburan bagi acara perlumbaan F1, kita membelanjakan sekitar RM15 juta hingga RM20 juta yang mana ia bagi meningkatkan mutu kemudahan dan hospitaliti di litar ini.

“Malah, menyediakan paddock baru ini juga membantu pelumba untuk lebih selesa di kawasan litar dan orang ramai juga dapat menikmati tempat berteduh yang lebih banyak di sini,” katanya pada taklimat media mengenai dua paddock berkenaan, semalam.

Paddock kekal itu yang dikenali sebagai chalet paddock mempunyai pelbagai kemudahan, antaranya tiga modul yang menyediakan enam pit garaj dengan keluasan masing-masing 80 meter persegi. Ia adalah projek kekal dibangunkan SIC bagi mengantikan paddock sementara dan 80 peratus bahan pembangunan strukturnya menggunakan besi daripada paddock lama. - hmetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA