Seorang Maut, Taufan Hermine Badai Teluk Florida


MIAMI: Seorang lelaki gelandangan maut ditimpa pokok apabila Taufan Hermine membadai seluruh pantai Teluk Florida, menyebabkan pokok tumbang, banjir dan gangguan bekalan elektrik.

Ia turut meningkatkan kebimbangan mengenai penularan virus Zika berikutan semakin banyak tempat air bertakung.

Tiada laporan kecederaan lain tetapi kru kecemasan bekerja tanpa henti sepanjang malam, menyelamatkan 18 penduduk daripada banjir yang semakin meningkat di mukim Pascoe, dan beberapa keluarga di Hernando, kata Gabenor Rick Scott.

"Hari ini, kita tahu banyak kerja perlu dilakukan berikutan ribut ini. Keutamaan adalah keselamatan.

"Banjir dan arus yang boleh mengancam nyawa akan berterusan dan kita semua perlu sentiasa berwaspada," katanya dalam kenyataan.

Scott berkata, 253,000 penduduk terpaksa bergelap berikutan gangguan bekalan elektrik dan menasihatkan mereka supaya menjauhi air bertakung berhampiran tiang elektrik.

Taufan pertama melanda Florida dalam masa 11 tahun, Hermine tiba di darat awal Jumaat berhampiran bandar pesisir pantai, St Marks, 30 kilometer ke selatan ibu kotanya, Tallahassee, dengan angin kencang 130 kilometer sejam.

Hermine, yang kemudian diturunkan gred menjadi ribut tropika, dijangka menjejaskan percutian sambutan Hari Buruh di Amerika Syarikat apabila menuju ke timur laut selepas merosakkan industri pelancongan Florida bernilai AS$89 bilion (RM363 bilion). - Agensi/Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA