Semoga Terus Berjaya Lagi

Foto Harian Metro
KUALA LUMPUR: "Tak tahu nak cakap apa. Semoga dia berjaya lagi pada masa hadapan," kata Salmah Yatim, 57, ibu kepada pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly.

Salmah yang ditemui dalam majlis meraikan kepulangan atlet paralimpik di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di sini sebak ketika ditanya mengenai kejayaan anaknya itu.

Dia turut mengulas mengenai wang kemenangan RM1 juta yang bakal diterima anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

"Dia kata nak buat rumah mak, nak buat rumah baru. Selebihnya, tak tahu nak kata apa lagi, tak ada rancangan, tak tahu apa nak dibuat," katanya.

Salmah hadir pada majlis berkenaan bersama suaminya, Romly Mat, 63.

Abdul Latif bercadang untuk membina rumah baru di Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri, Arau, Perlis.

Sementara itu, Salmah yang bangga dengan anaknya itu turut bercerita mengenai Abdul Latif ketika kecil.

"Dia senyap, tapi dia buas, dia macam...suka lari panjat-panjat pokok, dia aktif.

"Masa sekolah, dia tidak mahu masuk kelas pemulihan, dia nak masuk kelas normal, tapi dia tak boleh buat juga.

"Jadi dia aktif dalam sukan. Dulu pun dia bertanding sukan dengan orang normal yang lain," katanya.

Sementara itu, Abdul Latif menganggap sambutan yang diterimanya hari ini sebagai detik terindah dalam hidupnya.

"Tak sangka ramai keluarga dan kawan-kawan sanggup datang dari Perlis. Memang tak sangka, nak menangis pun ada.

"Terima kasih kepada yang buat sambutan ini. Kami pun tak menjangka sambutan semeriah ini, ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada yang buat," katanya.

Abdul Latif bersama tiga lagi pemenang pingat pada Sukan Paralimpik, iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Ziyad Zolkefli dan Siti Noor Radiah Ismail disambut meriah sebaik menjejakkan kaki ke tanah air.

Sambutan bermula di Kompleks Bunga Raya, Sepang, diikuti perarakan ke KLCC dan Pavilion sebelum ke pusat berkenaan.

Selain menang emas, Abdul Latif turut mencatat rekod dunia acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dengan catatan 7.60 meter.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA