Selipar Dan Pensil Jadi Bahan Ketawa


Sesiapa yang menjadi lepasan sekolah sudah pasti memikirkan sesuatu yang berfaedah bagi mengisi ruang yang membosankan. Perkara pertama yang timbul dalam minda ialah bekerja.

Bagi yang bernasib baik akan bekerja di pejabat atau sekurang-kurangnya bekerja di kilang. Bagi aku yang hidup di kampung memang sukar untuk bekerja pejabat mahupun kerja kilang kerana jarak keduanya terlalu jauh dari kampung.

Suatu hari rakan yang sebaya dengan aku menemui aku ketika aku sedang mengasah parang untuk membersih laman. Rakan aku telah berhenti sekolah sejak dari tingkatan tiga lagi. Namun aku bernasib baik dapat menyambung sehingga tingkatan lima dan kini menunggu keputusan SPM.

Hajat kawan aku menemui aku adalah ingin mengajak aku bekerja. Aku berasa gembira dan ingin mengetahui apa kerja yang dapat aku buat. Rakan aku mengajak aku bekerja kayu block tidak jauh dari kampung aku. Aku bergegas memberitahu ibu (arwah) dan beliau membenarkan.

Dua hari selepas itu rakan aku datang lagi dan membawa wang RM500 dan diberi kepada aku. Aku terpinga-pinga dan bertanya untuk apa wang itu. Rakan aku berkata bahawa itulah wang 'advance' atau duit permulaan dan kemudian rakan menyuruh aku berkemas kerana kami akan berangkat keesokan harinya.

Keesokkannya kami berdua berangkat dan menemui sekumpulan yang lain. Seingat aku ada 15 orang kesemuanya dan ada empat wanita turut sama. Kami pun menaiki sebuah bot yang agak besar untuk menuju ke tempat kerja yang perjalanannya hampir satu jam setengah.

Akhirnya kami sampai ke sebuah pangkalan yang dipenuhi kayu balak. Aku hanya melihat sebuah rumah sahaja di pengkalan. Aku bertanya kepada rakanku, di mana tempat bermalam. Rakan aku menjawab bahawa tempat tinggal mengambil masa setengah jam perjalanan dari pangkalan.

Aku bertanya lagi bagaimana hendak berjalan sedangkan tiada jalan untuk menuju tempat tinggal. Rakan aku berkata bahawa kesemua yang ada akan menaiki 'Apolo' untuk sampai. Secara aotomatik otak aku berfikir bahawa kami akan menggunakan roket untuk ke tempat tinggal dan terus mengaju kepada rakan apa yang aku fikirkan.

Rakan aku ketawa dan menyatakan bukan menggunakan roket tetapi kereta khas yang boleh bergerak di atas rel. Aku tersenyum tetapi dalam hati, aku ketawa. Tibalah giliran kami menaiki apollo dan meluncur laju menyusuri rel dan melintasi hutan paya yang tebal.

Sesudah sampai saya melihat rumah yang ringkas dan panjang tanpa dinding. Hanya bertempat sahaja yang mempunyai dinding. Itu pun dinding kanvas.

Hari pun malam dan kerana keletihan aku pun tidur tanpa menghirau keadaan sekeliling. Awal subuh suasana sudah riuh pikuk dan aku bangun ingin mengetahui apa yang berlaku. Rakan aku merapati aku dan mengarahkan aku agar mandi dan bersarapan kerana selepas itu kami akan berjalan ke hutan untuk bekerja.

Selesai semuanya kami mengambil masa 10 minit berjalan untuk ke tempat bertugas. Rakan aku berpesan agar aku berhati-hati dan sentiasa ikut arahan. Kedengaran mesin potong balak memecah kesunyian hutan. Pokok-pokok besar mula tumbang dan kami yang duduk jauh hanya memerhati sahaja.

Selesai penembang melakukan tugas menebang dan memotong, kami pun megambil tempat untuk bertugas. Saya perhatikan kayu besar sudah dipotong-potong sepanjang 8, 10 dan 12 kaki. Rakanku dan yang lain melihat-lihat sekitar hutan dan mereka menggeleng kepala.

Rakanku memanggil aku dan menyuruh aku kembali ke tempat tinggal dan bawakan kayu pensil seperti yang rakanku sebut. Aku bergegas ke dan mengumpul segala pensil kayu yang ada di situ. Aku kembali semula ke hutan dan membawa satu plastik kecil yang dipenuhi pensil kayu.

Setibanya aku, rakan aku bertanyakkan pensil yang aku bawa. Aku menunjuk satu plastik pensil kepada beliau dan tiba-tiba beliau ketawa terbahak-bahak. Semua yang ada di situ tercengang dan mengikuti rakanku ketawa apabila melihat plastik yang ada di tangan rakanku.

Aku merasa hairan dan bertanta kepada rakanku kenapa ketawa. Rakanku berkata bahawa bukan pensil kayu yang diarahkan untuk diambil tetapi kayu pensil. Kayu pensil kegunaannya menyungkit kayu agar kayu bergerak. Baru aku faham dan aku kembali semula ke tempat tinggal kerana aku ada melihat kayu seperti rakan aku katakan dan aku bawa 10 batang ke dalam hutan.

Selesai mengalih kayu balak tersebut rakanku kembali mengarahkan aku supaya pulang mengambil selipar. Tanpa banyak tanya aku pulang dan kumpulkan selipar yang ada kedalam kotak kecil dan kembali ke hutan.

Sekali lagi mereka ketawakan aku apabila melihat aku membawa selipar alas kaki manusia. Aku bertanya kembali kepada rakanku kenapa semua ketawa. Rakanku menerangkan bahawa bukan selipar alas kaki tetapi selipar untuk alas kayu supaya senang digelongsor ke rel. Rakan aku memberitahu rupa bentuk selipar dan aku faham terus pulang dan kembali ke hutan semula membawa selipar yang dimaksudkan.

Itulah pengalaman pertama kali aku bekerja dan kejadian-kejadian melucukan sentiasa berlaku apabila aku cuba menimba pengalaman. Dari pengalaman selipar dan pensil aku dijadikan bahan ketawa, akhirnya aku mempunyai pengalaman menyukat kayu sehingga aku mampu menyukat blok-blok kayu yang hendak ditebang.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA