Selamat Tinggal Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)


KUALA LUMPUR: Kempen skuad bawah 16 tahun negara (B-16) di Kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berakhir selepas tewas kali kedua dalam saingan kumpulan C yang berlangsung di Stadium Pandit Jawaharlal Nehru, Goa, India malam tadi.

Anak didik P Somasundram tewas 0-3 kepada gergasi Asia, Korea Selatan selepas sebelum itu turut tumbang dengan jaringan sama kepada Oman pada aksi pembukaan dan seri 1-1 ketika bertemu Iraq.

Dengan keputusan itu, menyaksikan 'anak Harimau Malaysia' sekadar menghuni tangga keempat kumpulan dengan mengumpul satu mata sekali gus gagal mengulangi pencapaian dua musim lalu di mana Malaysia melangkah hingga ke peringkat suku akhir saingan.


Gol pasukan Korea Selatan disumbangkan Park Jeong In pada minit keempat buat mengejutkan kem negara sebelum Cheon Seong Hoon (m-14) dan Ko Jun Hee (m-84) melengkapkan kemenangan bergaya ke atas skuad negara.

Bagaimanapun, hajat Korea Selatan untuk beraksi di pusingan berikutnya turut berkubur apabila menamatkan kedudukan di tempat ketiga di belakang Iraq dan Oman yang seri 1-1 dalam satu lagi aksi yang berjalan serentak malam tadi.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA