Seekor Bayi Orang Utan Di Semenggoh Dipercayai Lahir Pada Hari Malaysia


Kuching : Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) hari ini mengumumkan kelahiran seekor bayi orang utan di Rizab Semula Jadi Semenggoh (SNR) yang mana terletaknya Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC), kira-kira 50km dari sini.

Dipercayai, bayi orang utan itu dilahirkan pada Hari Malaysia 16 Sept lepas, kata perbadanan itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Ibu kepada bayi orang utan itu, Analisa, kali terakhir dilihat di tempat memberi makan pada 13 Sept dan pada 18 Sept, haiwan itu datang untuk makan di platform itu bersama seekor bayi yang berpaut padanya.

Ibu dan bayi itu kelihatan baik tetapi jantina bayi berkenaan tidak dapat ditentukan kerana bayi itu masih didakap erat oleh ibunya bagi melindungi anaknya itu.

Menurut kenyataan itu, Analisa, 20, juga dilahirkan di Semenggoh oleh ibunya Seduku, 45, orang utan betina tertua di pusat hidupan liar itu dan Analisa setakat ini telah melahirkan tiga ekor anak iaitu Anakku, Digital Guro dan seekor yang baharu lahir.

Digital Guro, dijadikan anak angkat Majlis Daerah Guro di Seoul, Korea Selatan, bagaimanapun, orang utan jantan itu mati akibat sebab semula jadi pada November 2015.

Dengan kelahiran terbaharu ini, Semenggoh kini mempunyai 27 ekor orang utan yang akan menarik perhatian pelawat.

Di SWC dan kemudahan di Pusat Hidupan Liar Matang (MWC), terdapat Program Anak Angkat Orang Utan yang mana orang ramai boleh mengambil bahagian dengan menjadikan orang utan sebagai anak angkat.

Hasil daripada program anak angkat itu akan digunakan untuk membiayai aktiviti pemuliharaan terutamanya orang utan. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA