"Saya Okay, Usah Dengar Khabar Angin" MB N.Sembilan


SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesihatannya berada di tahap baik dan tidak timbul isu beliau perlu digantikan daripada jawatan tersebut.

“Saya okay, demam biasa, masuk wad empat hari untuk buat pemeriksaan kerana masalah ulser saya. Doktor beritahu bahawa jantung saya okay dan dia ingatkan supaya saya berehat.

“Tidak perlu dengar khabar angin (pertukaran Menteri Besar), saya yakin akan terus mengepalai jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini sebentar tadi.

Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan Mohamad antara empat Menteri Besar yang akan ditukar oleh pucuk pimpinan (BN) menjelang PRU-14.

Tiga lagi pertukaran dipercayai melibatkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tahap kesihatan Mohamad dan pertelagahan dalaman antara beberapa kumpulan UMNO di Negeri Sembilan antara faktor yang dikatakan mendorong kepada perubahan tersebut.

Pada 3 September lalu, beliau dimasukkan ke wad di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas mengadu kurang sihat selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau sehingga timbul khabar angin beliau tenat.-UTUSAN ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA