Sarawak Model Keharmonian Sosial - Adenan


KUCHING: Perpaduan yang diamalkan di Sarawak menjadikan negeri ini sebagai model keharmonian sosial di Malaysia seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Najib Razak,

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem berkata demikian ketika berucap  merasmikan Pameran Urang Kita: Pameran Tentang Kita di Muzium Seni Sarawak di sini hari ini

Menurutnya, beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dengan pendekatan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat melalui Perlembagaan Persekutuan Negara menjadikan setiap kaum peribumi di negeri ini diiktiraf di mata dunia.

"Setiap kaum peribumi yang terdapat di Sarawak mempunyai ciri-ciri dan identiti tersendiri yang berbeza antara etnik. Keunikan hak dan keperluan setiap etnik terus dipelihara, diakui dan dilindungi melalui peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Perlembagaan Persekutuan menjadikan setiap kaum peribumi Sarawak diiktiraf di peringkat dunia,” katanya.

Jelas Adenan, perpaduan dan keharmonian di Sarawak terbukti sekali lagi dengan pengisytiharan Bandaraya Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan oleh Perdana Menteri pada 1 Ogos 2015.

Justeru beliau menyeru agar semua pihak bersatu dan bersama-sama menolak sekeras-kerasnya sentimen atau anasir-anasir yang mahu merosakkan perpaduan yang telah dibina sekian lama.

"Kita harus merasa bangga kerana dengan wujudnya perpaduan dan kerjasama yang kukuh dalam kepelbagaian kaum yang ada di Sarawak, kita mampu hidup aman. Ini banyak membantu usaha kerajaan untuk terus membangunkan negeri ini," tambahnya.  - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA