Sarawak Mahu Putrajaya Beri Perhatian Khas - Adenan


KUCHING: Kerajaan negeri meminta kerajaan pusat di Putrajaya memberi perhatian khas kepada isu pembangunan yang sering dibangkitkan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menegaskan selepas 53 tahun membentuk Malaysia, kerajaan negeri mahu perhatian khas daripada pentadbir di Putrajaya.

Memetik laporan Utusan Borneo, Adenan berkata kita tidak lagi mahu ada sekolah yang ‘terjun’ ke dalam sungai, sekolah-sekolah yang tidak ada bekalan elektrik 24 jam dan sekolah yang hanya boleh dihubungi melalui jalan tanah atau jalan-jalan berlumpur.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri meletakkan perhatian yang serius untuk merapatkan jurang ekonomi yang besar antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Sebagai usaha untuk merapatkan jurang kedua-dua kawasan itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bernilai RM1 bilion dan kini dalam proses membuat pembayaran peruntukan bagi tempoh 2015/2016 untuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar,” Adenan dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

Beliau juga berkata, jika sekadar menunggu peruntukan daripada kerajaan persekutuan, Sarawak akan memerlukan masa yang lama, ibarat menunggu sungai tidak berhulu.

“Sebab itu kita perlu menggunakan sumber kita sendiri untuk melaksanakan pembangunan dan menuntut daripada kerajaan persekutuan kemudian,” tegasnya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA