Sarawak Kurang Pakar Penghurai Bahan Sejarah


KUCHING: Sarawak akan terus bekerjasama dengan pakar antarabangsa untuk melakukan penganotasian ke atas hasil penemuan sejarah di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata langkah itu diambil bagi mengatasi masalah kekurangan pakar tempatan yang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata disebabkan masalah kekurangan pakar yang dihadapi menyebabkan banyak koleksi sejarah Sarawak tidak dapat dihurai atau seterusnya dipamerkan kepada umum.

Ketika ini katanya, Jabatan Muzium Sarawak (JMS) menjalinkan kerjasama dengan pakar serta beberapa universiti luar negara seperti dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Eropah termasuk universiti tempatan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

“Sarawak mempunyai banyak koleksi sejarah tetapi anotasi atau nota penghurai (mengenainya) masih tidak mencukupi kerana jumlah pakar kita terhad.

“Penganotasian koleksi sejarah adalah kerja yang rumit. Kita berharap akan dapat melakukan penganotasian ke atas koleksi sejarah yang berusia lebih separuh abad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Urang Sarawak: Pameran Tentang Kita di Muzium Seni di sini semalam.

Adenan berkata sebagai contoh, koleksi penemuan Alfred Russel Wallace di Sarawak mengenai burung dan rama-rama masih belum dianotasi sepenuhnya.

“Kita juga akan terus melakukan kajian bagi mengetahui lebih mendalam mengenai asal usul, budaya penduduk Sarawak dan sebagainya. Masih banyak perlu dilkukan,” ujarnya.

Mengenai Muzium Sarawak, beliau berkata ia amat terkenal di rantau Asia Tenggara kerana menghimpunkan koleksi sejarah Borneo yang terbanyak.

Ia katanya, berusia lebih 100 tahun, ditubuhkan pada 1886, menjadikannya antara muzium tertua di Asia Tenggara.

Mengenai pameran itu, Adenan berkata ia inisiatif bijak diambil JMS kerana ia akan membuka mata rakyat negeri ini khasnya generasi muda kepada sejarah, demografi, budaya, cara hidup dan arkeologi rakyat Sarawak.

“Saya menyarankan agar pihak sekolah atau guru mengambil peluang ini membawa pelajar mengunjungi pameran ini supaya generasi muda tahu sejarah asal usul mereka dan sebagainya.

“Menerusi lawatan ke pameran ini sekurang-kurangnya dapat menzahirkan rasa menghargai sejarah dalam kalangan pelajar iaitu generasi muda kita,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin yang mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Solidariti Rosey Yunus, Menteri Muda Urbanisasi Datuk Talib Zulpilip dan Pengarah JMS Ipoi Datan. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA