Sarawak Kekal Bantah Rang Undang-Undang Berkaitan Mahkamah Syariah


KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak kekal dengan pendiriannya, membantah rang undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah yang mahu dibentangkan semula oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan ahli majlis Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Wisma Sultan Tengah dekat sini semalam.

“Pendirian dan kedudukan kita sebelum ini ialah membantah Rang Undang-Undang itu (dan) ia kekal.

“Jika ada sebarang perubahan, Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) yang juga Pengerusi BN Negeri akan maklumkan,” tegas Abang Johari yang juga Timbalan Presiden PBB.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai rancangan Hadi untuk membentangkan semula rang undang-undang meminta Akta 1956 juga dikenali Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dipinda.

Pada persidangan Parlimen Mei lalu, Hadi mengambil keputusan menarik balik keputusan membentangkan rang undang-undang berkenaan walaupun speaker membenarkan ia dibahas.

Bagaimanapun media semalam melaporkan beliau mahu membentangkan semula rang undang-undang berkenaan pada persidangan Parlimen yang dijadual bulan depan.

April lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengarahkan kesemua 25 Ahli Parlimen dari Sarawak mengundi menentang rang undang-undang tersebut.

Malah tambah Adenan, empat parti komponen BN negeri (Sarawak) bersatu menentang pelaksanaan hukum hudud. - TheBorneoPost

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA