Sarawak Juara SUKMA 2018


KUCHING: Dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan negara sekaligus menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, kerajaan negeri akan melakukan transformasi menyeluruh, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Berdasarkan keputusan diraih pada temasya SUKMA 2016, beliau berkata, adalah tidak mustahil kontinjen negeri ini mampu muncul juara dan melakukan kejutan.

Malah menurutnya, di peringkat akar umbi seperti sukan peringkat umur di bawah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Sarawak muncul juara 15 tahun berturut-turut.

"Jadi apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mengkaji dan mencari jalan ajar kesinambungan prestasi dapat diteruskan agar atlet muda dapat terus menyinar pada temasya SUKMA," katanya.

Selain itu jelasnya, latihan perlu dimantapkan selain penglibatan golongan profesional dari luar negara diperlukan untuk membantu atlet muda.

Dalam perkembangan sama, Karim berkata, Kementerian Belia dan Sukan dan Solidariti akan mewujudkan sebuah jabatan baharu yang berperanan memantau kemudahan seperti stadium serta gelanggang SUKMA lepas supaya tidak terabai.

"Peranan jabatan ini turut mencakupi aspek penyelenggaraan dilaksanakan dengan baik. Ia akan melibatkan kerjasama agensi kerajaan dan persatuan terbabit," ujarnya. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA