Sarawak Jalin Kerjasama Rapat Dengan Formadat Lindungi Kawasan Tanah Tinggi


KUCHING : Kerajaan Negeri Sarawak akan bekerjasama rapat dengan pertubuhan peribumi seperti Masyarakat Adat Dataran Tinggi Borneo (Formadat) bagi melindungi kawasan tanah tingginya yang luas.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata kawasan berkenaan termasuk Bario, Ba'kelalan, Long Semadoh, Taman Negara Pulong Tau dan Taman Negara Payeh Maga yang dicadangkan di Lingkaran Jantung Borneo di Bahagian Miri.

Beliau berkata kawasan itu sangat penting bagi melindungi persekitaran semulajadi, memulihara kawasan tadahan hujan dan sungai selain amat kaya dengan flora dan fauna serta memiliki potensi aktiviti ekopelancongan.

Adenan berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyampaian Hadiah Equator Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) 2015 kepada Formadat oleh wakil residen UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam Michelle Gyles-McDonnough di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Presiden Formadat Penghulu Sigar Sultan menerima anugerah itu bagi pihak pertubuhan itu.

Adenan berkata Formadat amat progresif dalam rancangannya melindungi hutan dan menangani isu perubahan iklim yang dihadapi dunia.

Beliau juga berkata Sarawak mengambil pelbagai inisiatif untuk mengimbangkan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadi.

Antara inisiatif itu adalah usaha berterusan bagi memerangi pembalakan secara haram, yang jika dibiarkan, boleh mengakibatkan kerosakan terhadap alam sekitar serta memusnahkan biodiversiti, habitat hidupan liar dan pembasmian hutan secara berleluasa, katanya.

Menurutnya Formadat, yang terdiri daripada masyarakat Lun Bawang, Kelabit dan Sa'ban dari kawasan tanah tinggi, boleh menjadi rakan utama kerajaan negeri untuk mengawal hutan.

Mengenai anugerah yang disampaikan kepada Formadat di Paris pada Disember lepas, Adenan berkata ia menjadi kebanggaan Sarawak dan Malaysia kerana UNDP menerima 1,461 pencalonan daripada 126 negara. "Anda adalah satu-satunya dari Malaysia. Kerajaan negeri memandang tinggi penganugerahan itu," kata beliau. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA