Sarawak Bebas Zika, Tingkat Langkah Berjaga-jaga


KUCHING - Selepas satu kes jangkitan Zika dilaporkan di Sabah Sabtu lepas, Sarawak kini meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan virus itu daripada merebak ke negeri ini.

Menteri Muda Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, setakat ini Sarawak masih bebas daripada virus Zika.

Beliau berkata, pasukan kesihatan telah ditempatkan di semua lapangan terbang utama di negeri ini sejak minggu lepas untuk membuat saringan kesihatan kepada penumpang yang menaiki penerbangan terus dari Singapura, luar negeri Sarawak dan negara lain yang sudah mencatat kes Zika.

"Jika individu yang dijangkiti virus Zika dikesan mengalami simptom penyakit itu, maka individu berkenaan akan terus dibawa ke hospital untuk tujuan kuarantin dan ujian kesihatan seterusnya.

"Ini perlu dilakukan sebagai langkah mengelakkan virus penyakit Zika merebak kepada orang lain di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Sarawak yang berada di Singapuran dan mempunyai simptom penyakit Zika supaya segera membuat pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin di negara itu sebelum pulang ke Malaysia.

Di samping itu, Dr Jerip berkata, hospital dan klinik kesihatan turut membuat pemeriksaan kesihatan terhadap ibu-ibu hamil untuk mengesan penyakit 'microcephaly' iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil.

"Ibu-ibu yang melahirkan anak yang berkepala kecil dua atau tiga tahun lepas turut dikehendaki datang untuk menjalani saringan kesihatan di hospital dan klinik kesihatan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membersihkan kawasan rumah masing-masing dan menghapus tempat pembiakan nyamuk aedes selain program gotong-royong perdana turut dipergiatkan di seluruh Sarawak.

Menurut Dr Jerip, jangkitan virus Zika merebak daripada nyamuk aedes kepada manusia serta daripada manusia ke manusia melalui hubungan seks dan air liur. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA