Sarawak Bebas Zika, Sibu Perlu Waspada


KUCHING: Biarpun Sarawak masih bebas daripada virus zika, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk membendung virus tersebut merebak ke negeri ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata, ini kerana risiko penularan virus tersebut banyak bergantung kepada pembiakan nyamuk aedes.

"Sibu merupakan kawasan yang berisiko di Sarawak kerana mempunyai masalah denggi yang tinggi sekaligus boleh menimbulkan kepada masalah zika," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmikan 21st Joint Malaysia – Singapore Nursing Conference 2016 di sini sebentar tadi.

Beliau menyarankan agar masyarakat di Sibu perlu bekerjasama menjaga kebersihan premis kediaman masing-masing.

“Jika mereka yang tinggal di Sibu tidak betul-betul menjaga kebersihan dan tidak melakukan pencegahan untuk menghapuskan nyamuk aedes, saya bimbang zika merebak ke Sibu,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan agar mana-mana kawasan yang bermasalah dengan denggi agar mengambil langkah pencegahan supaya zika tidak merebak.

“Saya difahamkan di Sibu ada masalah yang lebih besar iaitu masalah sistem saliran. Saya rasa pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang serius dalam isu ini agar masalah dapat diselesaikan,” tegasnya.

Namun katanya, setakat ini dua kes zika dilaporkan berlaku iaitu di Klang dan Sabah. -Sarawakiana.


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA