Rumah Bantuan Di Limbang Musnah Terbakar

Foto Utusan Borneo
LIMBANG: Keluar bekerja di awal pagi menyelamatkan sebuah keluarga dalam kebakaran rumah bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) milik mereka di Kampung Merambut di sini sekitar jam 8 pagi Isnin lepas.

Ketua Bomba Zon Limbang Edmund Dmahai Amboh berkata ketika kejadian mangsa, Ahad Tamit bersama sembilan ahli keluarga lain tiada di rumah kerana bekerja.

Menurutnya, anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang hanya boleh dihubungi melalui sungai menggunakan bot aluminium bomba yang jaraknya 20 kilometer dari balai.

Katanya, seramai enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua Zakaria Matnor bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 9.05 pagi semalam.

“Api berjaya dipadamkan sebaik anggota bomba tiba di lokasi sekitar jam 10 pagi.

“Tiada kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian sepuluh ahli keluarga mendiami rumah terbabit keluar bekerja,” katanya.

Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA