Rompak 10 Minit


KUCHING: Tiga perompak berjaya melarikan wang tunai serta beberapa barang berharga dianggarkan bernilai RM10,000 dalam tempoh kurang dari 10 minit dalam satu kejadian rompak bersenjata di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian yang menimpa sebuah keluarga itu berlaku di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub sekitar jam 3.30 pagi, Isnin lepas.

Menurutnya, semasa kejadian seorang wanita yang berusia 50 tahun tidur bersama anak perempuannya berusia 18 tahun dikatakan terjaga apabila mendengar pintu bilik tidur mereka diketuk.

“Mangsa kemudian terus mengunci pintu biliknya dan menghubungi pihak polis sebelum suspek yang bertopeng dan bersenjatakan pisau berjaya membuka pintu tersebut menggunakan tong gas.

“Suspek berjaya mengambil barang berharga milik mangsa di dalam bilik tersebut sebelum melarikan diri kira-kira lapan minit kemudian selepas mendengar bunyi kereta berhenti di hadapan rumah mangsa,” katanya di sini semalam.

Difahamkan, antara yang berjaya dilarikan suspek ialah seunit komputer riba, tiga unit telefon pintar dan wang tunai sekitar RM500.

“Siasatan juga mendapati dua daripada suspek bertutur dalam bahasa dipercayai Indonesia dan seorang bahasa tempatan (Melayu Sarawak).

“Selain itu, suspek memasuki rumah berkenaan melalui pagar dawai yang telah dipotong dan kemudian mengumpil pintu di tingkat bawah sebelum membuka pintu bilik tidur tersebut,” kata Abang Ahmad.

Tambahnya, rumah mangsa tidak dilengkapi dengan jeriji dan tiada sistem penggera keselamatan serta kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek dipercayai tidak menggunakan apa-apa kenderaan semasa kejadian tersebut berlaku, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA