Risiko HIV, Hepatitis Jika Pasang Pendakap Gigi Dengan Pengamal Haram


PUTRAJAYA: Pemasangan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram boleh mengakibatkan komplikasi pergerakan gigi tanpa kawalan, kehilangan gigi dan gusi bengkak serta bernanah, malah berisiko dijangkiti virus HIV dan hepatitis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata risiko itu tinggi kerana tahap kebersihan dan pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan atau meragukan, selain kaedah operasi yang mencurigakan.

Beliau berkata, pemasangan pendakap gigi adalah rawatan untuk membetulkan susunan gigi dan memperbaiki rahang yang tidak sempurna tetapi ada golongan tertentu terutama remaja, melihatnya sebagai simbol kemewahan, status dan fesyen.

Katanya, berikutan permintaan tinggi, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan ini melalui temu janji pemasangan secara dalam talian.

"Walaupun menawarkan harga rendah dan menjanjikan perkhidmatan yang baik, pada hakikatnya mereka ini tidak berkelayakan.

"Namun, strategi ini berjaya menarik ramai pelanggan (pesakit), sekali gus mengaburi mata mereka terhadap risiko yang mereka hadapi dari aspek keselamatan dan komplikasi rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kegiatan itu lazimnya dijalankan secara haram dan modus operandi mereka adalah berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi lain termasuk hotel, rumah persinggahan, pusat kecantikan atau spa dan rumah kediaman. 

Beliau berkata, ia dilakukan untuk mengaut keuntungan sehingga pelbagai janji dibuat tanpa memberitahu sepenuhnya kesan yang mungkin ditanggung pelanggan atau pesakit.

Katanya, memberikan perkhidmatan pergigian di premis tidak berdaftar adalah salah mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

"Orang awam boleh membuat aduan terus ke Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan di talian 03-883 4215 atau e-mel kepada ohd@moh.gov.my supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dan membahayakan kesihatan awam," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA