Rebut Anak, Bekas Isteri Buat Laporan Polis


BARU-BARU ini kecoh di media sosial apabila seorang bekas wartawan TV3, Mohd Adli Effendy Mohd Zaki, 35, mendakwa dirinya diugut bunuh oleh Pembantu Peribadi kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Dia mendakwa dipukul sekumpulan lima lelaki hingga cedera selepas enggan menyerahkan anak kepada bekas isterinya di sebuah hentian bas di Bandar Utama 4, Damansara.

Sehubungan itu, bekas isterinya tampil mendedahkan laporan berhubung kejadian sebenar yang berlaku pada Jumaat lalu.

Farah Nadia Che Norudin, 36, mendakwa bekas suaminya, Mohd Adli enggan menyerahkan anak perempuan mereka, Amanda Nerissa Adli Effendy, 7, walaupun mahkamah telah memberikan hak penjagaan kepadanya

Dalam laporan tersebut, Farah mencadangkan pertemuan dengan bekas suaminya diadakan di Balai Polis Bandar Utama namun mereka enggan dan menetapkan lokasi baru di hentian bas Sekolah Kebangsaan Bandar Utama 4.

BACA INI: Video: Ex-Wartawan Majalah 3 Dakwa Dipukul PA Menteri

Farah yang bekerja sebagai penerbit televisyen berkata, bagi tujuan keselamatan, dia ke tempat pertemuan itu bersama sepupunya.

“Apabila sampai, saya melihat anak saya di hentian bas seorang diri dan sepupu pergi mendapatkannya tetapi dihalang isteri dan emak bekas suami. Mereka berkata, sepupu saya tiada hak untuk menyentuh anak saya,” katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya.

Farah mendakwa bekas suaminya mengeluarkan kata-kata ancaman seperti ‘aku bunuh kau kalau kau tak lepaskan anak ini’ yang diungkapkan sebanyak tiga kali selepas dia cuba mengambil anak daripada bekas suaminya itu.

Menurutnya tidak hanya mengeluarkan kata-kata ancaman, bekas suaminya itu turut mengigit tangan kanan, lengan kiri dan mengores muka sebelah kiri serta menolak lehernya ketika dia cuba mendapatkan anaknya.

Katanya bimbang keadaan jadi semakin buruk, Farah mengarahkan sepupu dan pemandunya beredar.

“Lepaskan anak ini, aku cakap lepaskan anak ini kalau tidak engkau mati,” itu antara kata-kata bekas suaminya dalam keadaan marah, dakwa Farah.

Menurutnya, berlaku adegan tarik menarik dan bekas suaminya terus mengasarinya walaupun anak perempuan mereka masih berada dalam rangkulannya.

Keadaan menjadi reda seketika apabila polis peronda tiba di tempat kejadian dan dia menyerahkan notis perintah mahkamah untuk rujukan polis berkenaan.

Menurutnya, isteri bekas suaminya tiba-tiba menjerit dan mencederakannya serta mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bekas ibu mertuanya menyimbah air ke arahnya kerana marah.

Farah berkata, dia diberikan hak penjagaan mulai 19 Ogos lalu namun sehingga kejadian itu, bekas suaminya enggan menyerahkan anak mereka kepadanya.

Farah menyatakan dia nekad membuat laporan polis supaya mahkamah dapat mengeluarkan perintah supaya dapat menjauhkan anaknya daripada bekas suami dan keluarga. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA