Rawatan Rapi Terhadap Lelaki Berat Badan 250kg


SIBU: Lelaki obesiti berusia 33 tahun yang memerlukan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan sebuah lori untuk membawanya ke hospital kini diberikan rawatan rapi.

Ibunya, yang hanya dikenali sebagai Kho berkata Sia Chi Herng dapat 'bercakap sedikit', pada Khamis.

Chi Herng yang mempunyai berat badan 250kg telah dimasukkan ke wad pada Rabu kerana kesukaran untuk bernafas.

Menurut wanita berusia 63 tahun itu, anaknya mula mengalami masalah berat badan kira-kira dua tahun lalu, selepas mengalami kecederaan pada tumit kanannya.

Katanya, sejak itu berat badannya meningkat dari 100kg kepada berat badannya sekarang.

"Dia mempunyai berat badan normal ketika saya melahirkannya, iaitu kira-kira 3kg," katanya, sambil menambah berat badan itu adalah sama dengan berat badan abangnya yang kini berusia 36 tahun dan adik perempuannya yang berumur 30 tahun.

Pada tahun 2010, Chi Herng bertugas sebagai pekerja am di sebuah kem pembalakan di Miri selama dua tahun sebelum dia meminta dihantar ke satu lagi kem di Kapit.

"Satu hari semasa berada di dapur kem, lantai kayu yang dipijaknya tiba-tiba runtuh dan tumitnya cedera," katanya.

"Ketika itu dia masih seperti biasa, tetapi kira-kira sebulan kemudian, tumitnya mula terasa sakit yang amat sangat," katanya.

Kho berkata, anaknya telah dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan pada bahagian yang cedera dan doktor memberitahunya bahawa terdapat pembuluh darah yang telah rosak.

"Selepas itu, dia nampak OK dan kembali bekerja di Bintulu tetapi selepas kira-kira sebulan, kesakitan itu kembali dan dia terpaksa berhenti kerja," katanya.

Pada Mei 2014, dia pulang ke rumah dan dimasukkan ke hospital sekali lagi untuk penyakit yang sama. Dia kemudian menerima rawatan dari rumah.

"Dalam tempoh ini, saiz badannya mula membesar. Ini membimbangkan saya tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saudara-mara menasihatkan supaya dia mengurangkan pengambilan makanan tetapi dia tidak mengendahkan nasihat itu," kata Kho, sambil menambah Chi Herng sebenarnya tidak makan berlebihan.

"Selalunya dia hanya makan dua kali sehari."

Disebabkan berat badannya yang meningkat dua kali ganda, rasa sakit di tumitnya menjadi tidak tertanggung dan dia terpaksa bergantung dengan tongkat untuk bergerak di sekitar rumah.

"Keadaannya bertambah buruk sejak empat hari lalu dan dia hanya boleh merangkak di lantai," katanya.

"Dia tidak dapat membuang air kecil, sakit dada, diikuti dengan kesukaran bernafas."

Seramai 20 individu dan lori lima tan muatan diperlukan untuk mengangkat dan membawanya dari rumah ke hospital pada jarak 11km yang mengambil masa selama satu jam 40 minit. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA