Ramai Minta Naikkan Jumlah BR1M Dalam Cadangan Bajet 2017


Akibat pendapatan yang kecil dan dibebankan lagi kos hidup yang semakin meningkat, ramai yang mencadangkan agar kerajaan dapat menaikkan jumlah wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam cadangan Bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada 21 Oktober depan.

Mereka berharap syarat pemberian BR1M dilonggarkan dengan jumlah pendapatan kasar isi rumah dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000. Sementara tidak kurang pula yang mencadangkan kerajaan tidak perlu lagi menyalurkan wang ringgit, sebaliknya digantikan dengan barang-barang keperluan.

Sesetengah berpendapat, sesebuah keluarga berpendapatan RM5,000 sebulan yang hidup di Kuala Lumpur sudah boleh dianggap sebagai keluarga miskin. Oleh itu, mereka harap kerajaan boleh menyalurkan BR1M sebanyak RM500 setiap bulan kepada setiap keluarga yang layak.

Demikian sebahagian daripada cadangan daripada rakyat jelata ke dalam laman web, https://bajet2017.najibrazak.com yang disediakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penyediaan Bajet 2017 yang dibuka sejak 5 September lalu dan akan ditutup 19 September ini.

Memetik laporan China Press, terdapat ramai yang prihatin mengenai kos sara hidup, pendidikan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan perumahan.

Sebagai contoh, ada yang mencadangkan supaya pemberian rebat 10 peratus kepada yang membuat bayaran balik PTPTN berterusan selama 12 bulan seperti tahun 2014 dan 2015 dahulu, diwujudkan semula.

Turut dicadangkan agar kadar rebat dinaikkan dari masa ke semasa mengikut baki tahun bayaran balik pinjaman dan konsistensi bayaran balik. Ini dapat menggalakkan peminjam untuk membuat bayaran balik PTPTN.

Mengenai perumahan pula, tulis akhbar ini lagi, ada yang mencadangkan kerajaan perlu membina lebih banyak rumah untuk rakyat berpendapatan sederhana dan ke bawah selain memperbanyakkan rumah di kawasan yang memiliki jaringan stesen LRT dan MRT.

Sementara dalam aspek pendidikan, kerajaan diharap menyediakan bajet khas kepada sekolah-sekolah di Malaysia untuk menjalankan kelas bahasa Tamil dan bahasa Cina tanpa mengira kaum serta melahirkan lapisan anak muda yang berkebolehan untuk berbahasa lebih daripada tiga bahasa.

"Secara tidak langsung, dalam jangka masa panjang, kita dapat mengelakkan isu perkauman serta meningkatkan perkembangan dalam industri filem negara. Selain itu, satu peruntukan harus diberikan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutamanya terhadap golongan bukan Melayu," cadang seorang pengirim yang dipetik dalam laman web berkenaan. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA