Rakyat Sarawak Tidak Perlu Panik


KUCHING: Rakyat tidak perlu panik berikutan kes pertama jangkitan virus Zika dikesan di negeri ini sebaliknya mengambil langkah bersama menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes yang merupakan vektor utama penyakit berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata nyamuk aedes tidak hanya pembawa virus Zika tetapi penyakit lain lebih berbahaya yang boleh membawa maut seperti denggi dan chikungunya.

“Panik tidak akan membantu, lakukan sesuatu yang akan membantu (mengatasi penularan jangkitan virus Zika).

“Mulakan dengan usaha memastikan persekitaran tempat tinggal kita bersih serta bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Dalam hal ini, semua pihak mesti memainkan peranan masing-masing dengan serius, tidak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim, Konsultan Epidemiologi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Datu Dr Andrew Kiyu, Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Chua Hock Hin dan Pakar Sakit Puan HUS Dr Christine Lee.

Dr Sim percaya jika langkah efektif membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes tidak dilakukan, jumlah kes jangkitan virus Zika akan bertambah sekali gus memburukkan lagi kes demam denggi di negeri ini.

Beliau memberitahu sehingga 11 September 2016, sebanyak 2,037 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Sarawak berbanding 1,440 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Sibu mencatatkan kes demam denggi paling tinggi iaitu 1,156 berbanding hanya 865 bagi tempoh sama tahun lalu. Sehingga 11 September 2016 juga, enam kematian akibat demam denggi dilaporkan berbanding tiga sepanjang 2015.

“Maknanya penularan jangkitan Zika di Sarawak hanya melibatkan masa, bila-bila masa boleh berlaku. Oleh itu semua pihak perlu bekerjasama, ini adalah usaha bersama komuniti,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai kes jangkitan virus pertama Zika di Sarawak, Dr Sim berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia 35 tahun dan hamil dua bulan tinggal di Miri.

“Pada 11 September 2016, seorang wanita hamil dua bulan disyaki dijangikiti virus Zika dimasukkan ke Hospital Miri dan semalam (Selasa) hasil ujian sampel darahnya mendapati dia positif dijangkiti virus berkenaan.

“Wanita berkenaan kini dalam keadaan stabil dan dipantau rapi oleh Pakar Sakit Puan dan Pediatrik di Hospital Miri,” katanya.

Menurutnya, wanita itu sebelum ini pernah bekerja di Singapura dan kali terakhir melawat negara itu pada 24 hingga 29 Julai 2016.

Tambahnya, wanita hamil itu merupakan adik kepada kes jangkitan Zika keenam di negara ini.

“Kakak kepada mangsa kelima ini tinggal di Setapak dan telah dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 11 September 2016 selepas mula menunjukkan tanda dijangkiti Zika.

“Difahamkan si kakak, 39, melawat adiknya di Miri pada 26 Ogos dan kembali ke Kuala Lumpur pada 6 September. Dia mula menunjukkan tanda ruam panas pada 6 September dan dimasuk ke hopsital di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Dr Sim berkata, enam lagi ahli keluarga tinggal serumah dengan wanita hamil berkenaan termasuk suaminya setakat semalam tidak menunjukkan tanda atau simptom dijangkiti Zika.

Beliau turut memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah melancarkan pemantauan dan pengawasan di sekitar rumah mangsa dalam radius 200 meter serta melakukan saringan kesihatan ke atas 156 penduduk, namun tiada seorang daripada mereka menunjukkan sebarang tanda dan simptom dijangkiti Zika.

Semasa pemeriksaan, JKN Bahagian Miri juga mendapati 10 daripada 61 premis diperiksa mempunyai tempat pembiakan nyamuk aedes seperti tayar terpakai, baldi, pasu bunga, tong sampah, tikar plastik terbuang dan bekas makanan ayam.

Sementara itu, Dr Christine Lee memberitahu mangsa akan dipantau rapi termasuk perkembangan janinnya menerusi ujian ‘ultrasound’ setiap tiga hingga empat minggu sehingga bayi dilahirkan.

Selepas itu, bayi berkenaan akan dirujuk kepada pakar kanak-kanak bagi tempoh tertentu untuk membolehkan pemantauan saiz kepalanya dapat dibuat secara berjadual.

“Virus Zika boleh meningkatkan risiko bayi dalam kandungan dilahirkan mengalami masalah mikrosefali (kepala kecil) atau kecacatan lain.

“Oleh itu, pemantauan rapi ke atas bayi ketika masih di dalam kandungan amat perlu dan selepas dilahirkan bagi mengikuti perkembangan saiz kepalanya,” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA