Proton Akan Jadi Lebih Kompetitif Dengan Kerjasama Asing: Ong Ka Chuan


KUALA LUMPUR: Kerjasama Proton Holdings Bhd dengan pengeluar kereta asing akan membolehkannya menghasilkan kereta lebih berkualiti dan menjadikannya lebih kompetitif di pasaran.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, selain itu kerjasama tersebut akan menyokong pembiayaan penyelidikan dan pembangunan Proton.

"Industri kenderaan bermotor adalah sesuatu yang inovatif. Kita hanya menjual 600,000 kenderaan setahun berbanding China yang menjual 24.3 juta kereta.

"Jika kita bekerjasama dengan syarikat besar atau negara besar, kualiti kereta kita akan menjadi kompetitif dengan bantuan jenama antarabangsa lain," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ekspo Penyelesaian Perusahaan Kecil dan Sederhana 2016 di sini, Khamis.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu terletak kepada Proton yang kini dimiliki DRB-Hicom Bhd dan kerajaan tidak akan campur tangan dalam jualan kepentingannya.

"Mereka bebas untuk membuat keputusan mereka sendiri," katanya.

Ong berkata, Proton sebelum nii telah berbincang dengan sebuah syarikat kereta China dan kini sedang berunding dengan pengeluar kereta Jerman.

"Saya berpendapat mereka mahu mendapatkan tawaran terbaik," tambahnya.

Semalam DRB-Hicom berkata, ia sedang mengkaji cadangan mengenai penjualan pegangan Proton daripada lima pembeli berpotensi dan merancang menyelesaikan jualan itu menjelang pertengahan tahun depan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA