Presiden Filipina Mahu Makan Daging Pengganas

VIENTIANE: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tampil dengan kontroversi baharu apabila beliau berikrar untuk melapah dan memakan anggota militan Abu Sayyaf, sebagai membalas dendam terhadap keganasan yang dicetuskan oleh kumpulan pengganas itu.

"Mereka akan menerima balasan. Apabila tiba masanya, saya sendiri akan memakan anda (militan Abu Sayyaf) di hadapan orang ramai.

"Jika anda membuatkan saya marah, saya pasti akan memakan anda hidup-hidup," katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Laos, lewat Isnin.

Selain itu, Duterte turut menjelaskan secara terperinci bagaimanan beliau akan memakan anggota militan Abu Sayyaf yang membunuh 15 askar Filipina pada bulan lalu dan dipercayai terlibat dalam pengeboman yang mengorbankan 14 nyawa.

"Saya akan mengorek isi perut mereka dan meletak garam sebelum memakannya.

"Saya tidak membuat lawak. Mereka ini tidak boleh dimaafkan," katanya.

Kenyataan Duterte itu bukan yang pertama mencetuskan kontroversi dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Terdahulu, beliau mencetuskan perbalahan politik dengan Amerika Syarikat apabila menghina Presiden Barack Obama dengan kata-kata kesat.

Susulan kenyataan itu, Obama membatalkan pertemuan dengan Duterte dan Presiden Filipina tersebut kemudiannya menyuarakan kekesalan atas kenyataan tersebut. - AFP/mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA