Presiden Filipina enggan jumpa Setiausaha Agung PBB

NEW YORK: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang mengecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mengkritik pentadbirannya, menolak jemputan bertemu Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata panggilan dibuat untuk cuba menetapkan masa bagi pertemuan ketika sidang kemuncak forum ASEAN di Laos minggu depan, tetapi 'tiada masa dipersetujui untuk tujuan itu.'

Jurucakap Kementerian Luar di Manila berkata, 11 ketua negara memohon mengadakan pertemuan dengan Duterte ketika sidang kemuncak itu, dan beliau bersetuju bertemu sembilan daripada mereka.

"Tolong faham beliau tidak dapat bertemu semua mereka dan tiada siapa sepatutnya memandang negatif siapa yang beliau tidak dapat jumpa," kata Charles Jose di Manila.

Jurucakap Duterte, Ernesto Abella, berkata sidang kemuncak ASEAN pada 6 hingga 8 September ini di Vientiane 'sudah penuh' dan beberapa perjumpaan mungkin tidak dapat dilakukan.

Duterte melancarkan serangan lisan terhadap badan dunia itu selepas wakil khas PBB mengkritik tindakan kerasnya menghapuskan jenayah, malah mengancam keluar daripada PBB, ancaman yang kemudian ditarik balik. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA