Presiden Baharu Diharap Kembali Gemilangkan Sarawak


MENJELANG mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang berlangsung 17 September ini, pelbagai nama disebut-sebut bakal menduduki 'kerusi panas' selaku presiden.

Antara nama popular termasuk Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing yang dikatakan bakal menerima pencalonan kukuh.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat James menerajui kepimpinan FAS tidak kesampaian apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit, Kennedy Kuyang menafikan perkara itu.

"Beliau (James) tidak akan bertanding dalam AGM akan datang disebabkan faktor masa dan jadual kerja yang padat," kata Kennedy.

Nama lain yang dikhabarkan sesuai untuk bertanding jawatan ini adalah Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim dilihat sebagai calon sesuai kerana penglibatannya dalam memartabatkan sukan dan belia di negeri ini.

Apa yang penting sekarang penyokong Sarawak dahagakan kebangkitan agar skuad Ngap Sayot kembali mencabar kejuaraan Liga Super atau Piala Malaysia.

Sekitar tahun 90an dan awal 2000, Sarawak muncul sebagai pencabar utama liga di Malaysia sehinggakan agak sukar untuk mengalahkan Sarawak ketika beraksi di Stadium Negeri. -Sarawakiana.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA