Potong Mayat Guna Gergaji Elektrik


Bangkok : Satu mayat yang ditemui di dalam peti sejuk beku di sebuah rumah kedai yang dijadikan lokasi membuat pasport palsu dipercayai dipotong menggunakan gergaji elektrik.

Mayat misteri dipercayai lelaki warga asing itu ditemui ketika polis menyerbu sebuah rumah kedai di Sukhumvit pada Jumaat lalu.

Pengarah forensik di Hospital Chulalongkorn, Udomsak Hoonwijit berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat itu lelaki tua warga Eropah.

Katanya, mayat itu didapati dipotong menggunakan gergaji elektrik sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku berkenaan.

“Tidak dapat dipastikan mangsa masih hidup atau sudah mati ketika anggota badannya dipotong.

“Anggota badan mangsa ini diletakkan dalam peti sejuk beku dalam jangka masa yang lama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menggunakan kaedah bedah siasat tomografi berkomputer bagi membolehkan pemeriksaan terhadap luka dan kerosakan tisu dilakukan dengan lebih efektif berbanding pemeriksaan tradisional.

“Bagaimanapun, apa yang paling sukar adalah menentukan bila dia mati dan kami juga memerlukan lebih maklumat untuk mengetahui punca kematiannya,” jelasnya.

Dalam serbuan itu polis menahan dan mendakwa tiga warga asing kerana memalsukan dokumen serta menyembunyikan mayat. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA