Polis Siasat Laporan TV Indonesia, PATI Lolos Ke Tawau


TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius laporan sebuah program televisyen di Indonesia mengenai ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran itu masuk secara haram ke daerah ini selepas merasuah pihak berkuasa Malaysia.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, mengesahkan beliau sudah menerima dan melihat rakaman video daripada program televisyen berbentuk siasatan dipercayai terbitan TransMedia Indonesia.

"Kita kini menyiasat kesahihan video itu dan jika wujud salah laku membabitkan elemen PDRM seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) atau mana-mana pasukan, kita akan ambil tindakan.

"Ketika ini, kami masih dalam proses menyiasat kesahihan serta semua intipati yang digambarkan dalam rakaman video terbabit," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

Sejak semalam, beberapa portal berkongsi pautan serta rakaman didakwa sebuah program televisyen berbentuk siasatan di Indonesia yang mendedahkan secara terperinci bagaimana ratusan PATI mendarat di daerah ini, setiap hari.

Wartawan Indonesia itu juga menyamar sebagai tenaga kerja Indonesia (TKI) untuk masuk secara haram ke Malaysia melalui Tawau, selain menyelongkar bagaimana perjalanan PATI dari negara jiran itu dipermudahkan dengan memberi rasuah antara RM50 hingga RM100 kepada pihak berkuasa negara ini.

Difahamkan, program berkenaan dirakamkan dua wartawan warga Indonesia dari stesen televisyen berkenaan antara Jun hingga Julai lalu.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA