PM Tiba Di Vientiane Untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 Dan 29


VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 serta sidang kemuncak yang berkaitan selama empat hari bermula hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay disambut Duta Besar Malaysia Ke Laos, Datuk Than Tai Hing dan pegawai kanan kerajaan Laos.

Ini adalah lawatan ketiga Perdana Menteri ke Laos. Lawatan pertama adalah dalam rangka lawatan rasmi pada Jun 2010, manakala lawatan kedua adalah lawatan kerja bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-9 (ASEM) pada November 2012.

Pada sidang media lewat malam tadi, Tai Hing berkata, kerajaan tuan rumah menempatkan Perdana Menteri dan isteri di ASEM Villa, iaitu sebuah perkampungan khas yang dibina bersempena penganjuran ASEM Ke-9 pada 2012.

Selain Malaysia, ketua negara dan kerajaan yang turut ditempatkan di ASEM Villa ialah Filipina, Indonesia dan India.

Menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Laos yang dibentuk sejak 50 tahun lalu berada pada tahap amat menggalakkan, Tai Hing berkata pihaknya akan memperkasakan lagi hubungan diplomatik dua negara.

"Berlandaskan usaha untuk merapatkan hubungan dua hala terutama dalam sektor perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Laos, usaha dan perhatian akan terus diberikan bagi meningkatkan potensi sebenar kerjasama ekonomi kedua-dua negara," katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 akan dirasmikan esok. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA